RCI Dompok letak jawatan pengerusi PSC Integriti kerana saksi KDN tidak bekerjasama

Oleh Mohd Farhan Darwis June 21, 2013
Dompok
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram Sabah hari ini diberitahu Tan Sri Bernard Giluk Dompok meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkaitan Integriti pada 2006 disebabkan tidak mendapat kerjasama daripada saksi-saksi yang terdiri daripada kakitangan di bawah agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dompok, yang merupakan bekas ahli Parlimen Ranau hari ini dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-139 RCI berkata terdapat keengganan saksi daripada pegawai-pegawai untuk memberikan keterangan dalam PSC yang diketuainya pada 2006 menjadi punca beliau meletakkan jawatan.

"Ada banyak kengganan pegawai beri keterangan dan saya buat keputusan letak jawatan... dan juga kerana saya tidak mendapat bukti daripada mereka," katanya kepada panel RCI, di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di Sabah.

Pada 16 Mei, 2007, Dompok meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa itu atas perbezaan pendapat mengenai fungsi dan skop jawatankuasa, khususnya, atas keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu.

"Mereka rasa tidak wajar khusus panggil sesetengah jabatan sahaja dan wajar dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara," katanya merujuk kepada JPN dan juga beberapa agensi kerajaan lain.

"Mula-mula mereka muncul ... kemudian bila ia (PSC) berjalan, mereka tak hadirkan diri, saya dimaklumkan atas arahan Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Beliau menjelaskan, PSC yang diketuainya itu memberikan penekanan dalam isu memberi kad pengenalan kepada warga asing di Sabah, kad pengenalan palsu, kad IMM13, dan juga populasi penduduk yang meningkat dengan mendadak di Sabah.
"Peranan kami merangkumi proses permohonan kewarganegaraan," katanya lagi.

Ditanya berkenaan tinjauan daripada PSC berkenaan, Dompok menjelaskan beliau tidak pasti memandangkan tidak lagi terlibat dengan jawatankuasa tersebut selepas melepaskan jawatan pengerusi.

"Ada orang ganti saya jadi pengerusi, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, ahli Parlimen Gerik," tambahnya.

RCI sebelum ini diberitahu bahawa 28 peratus daripada penduduk Sabah merupakan warga asing, dengan anggaran berjumlah 889,000 yang kebanyakannya datang dari Filipina dan Indonesia.

RCI yang bermula Januari lalu juga telah mendedahkan testimoni rakyat Filipina dan warga asing lain tentang bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.

Saksi sebelum ini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee mencadangkan agar rakyat Sabah seharusnya diberikan kelebihan untuk mengeluarkan kad pengenalan mereka sendiri bagi mengekang pemberian kewarganegaraan kepada rakyat asing di negeri berkenaan.

Yong menjelaskan, kerajaan Persekutuan dilihat tidak serius dalam menangani gejala pemberian kad pengenalan kepada warga asing dari Filipina dan Indonesia, dan Sabah jelasnya harus memikirkan inisiatif sendiri bagi menyelesaikan perkara itu.

"Jika kerajaan tak nak selesaikan perkara ini, kita perlu selesaikan sendiri dengan mekanisme kita sendiri, keluarkan IC Sabah," katanya kepada RCI hari ini di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. - June 21, 2013.TMI

Tun M Bertanya Apakah Benar Melayu Tidak Akan Hilang Di Dunia

Tun M Bertanya: Apakah Benar Melayu Tidak Akan Hilang Di Dunia?Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lewat semalam menulis satu entri yang amat menarik di blog beliau bertajuk; Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia.
Walaupun tajuk itu sama dengan kata-kata pahlawan Melayu, Hang Tuah, namun isinya membawa kepada satu persoalan, apakah benar Melayu itu akan kekal di dunia ini?
Dr Mahathir memberikan contoh apa yang berlaku kepada Melayu di Singapura dan Selatan Thailand.
Beliau juga memberikan contoh akan apa yang sedang berlaku dalam negara ini sendiri.
“Tetapi di Malaysia juga kehilangan Melayu sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya akui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan kaum Melayu.
“Tetapi yang akan menghilangkan Melayu di dunia ialah dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap berkenaan dengan bangsa Melayu, mereka akan dituduh “racist”. Oleh itu orang Melayu sudah tidak lagi berani menyebut perkataan Melayu kerana tidak mahu dituduh “racist”,” katanya.
Dr Mahathir mengakhiri entri beliau dengan kata-kata berikut;
“Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya.”.
Pada hemat penulis, memang benar kata Dr Mahathir, orang Melayu tidak boleh bercakap mengenai Melayu dan kelangsungan bangsa mereka di negara ini.
Sedangkan bangsa lain yang mengatakan Melayu itu rasis, begitu asyik mempertahankan perkara-perkara seperti sekolah pelbagai aliran dan semua yang berkaitan dengan kaum mereka.
Cuma bila Melayu bercakap sedikit, akan kedengaran kata-kata bahawa itu adalah sikap rasis dan sebagainya.
Oleh: AK-47
Klik di sini untuk membawa entri tersebut sepenuhnya di blog Tun Mahathir.