Ngeri! Pegawai Polis Putus Kaki Dirempuh Kereta

Seorang pegawai polis trafik yang bertugas untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut putus kaki kanan setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi di Kuala Besut hari ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, Insp Farid Hasni Mamat, 33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, terhumban kira-kira 10 meter berhampiran tembok sekolah akibat impak rempuhan itu.
Ketika kejadian mangsa bersama Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, ASP Zainalabidin Othman, 48, sedang melakukan rondaan berhampiran kawasan sekolah itu.
Menurut Zainalabidin, selepas selesai melakukan pemeriksaan di sekolah tersebut, mereka berdua menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju memotong sebuah kenderaan lain.
Katanya beliau yang berada kira-kira 50 meter di hadapan mangsa sempat mengelak kereta Proton Saga yang dipandu seorang pemuda berusia 19 tahun itu namun mangsa gagal berbuat demikian.
Zainalabidin berkata selepas melanggar mangsa, kereta berkenaan yang hilang kawalan melanggar tembok pagar sekolah sehingga runtuh.
“Melihat kejadian itu saya menghampiri mangsa dan melihat sebelah kaki mangsa putus dan dijumpai berhampiran tembok yang runtuh,” katanya.
Menurutnya mereka berdua baru bertemu sejak Sabtu lepas dan ditugaskan untuk membantu kelancaran trafik sempena PRK DUN Kuala Besut.
Mencerita saat beliau menghampiri mangsa, Zainalabidin berkata beliau terdengar mangsa merintih “Apa dosa saya? Kenapa dia langgar saya?”.
Mangsa yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu dikejarkan ke Hospital Besut dengan ambulan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.
Keadaannya kini dilaporkan stabil.
Sementara itu Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Alias Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan itu.
Katanya suspek yang mengalami kecederaan ringan itu kini ditahan bagi membantu siasatan.
SUMBER: TERENGGANU TODAY

Culik Kanak Kanak Polis Percaya Ada Suspek Lain


KUALA LUMPUR – Polis hari ini tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak Britain, Freddie Joseph di Bangsar, di sini pada 8 November.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata pihaknya telah menyoal siasat bekas pembantu rumah yang pernah berkhidmat dengan keluarga kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejurus penahanan mereka pada 10 November, tetapi ia tidak membawa sebarang petunjuk positif.

“Jadi kami syak ada lagi suspek terlibat. Harap maklumat tentangnya boleh diperoleh menerusi rakaman percakapan dengan ibu mangsa sedikit masa lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri 
Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Joseph, setahun lapan bulan, diculik seorang lelaki dan wanita di rumahnya di Bangsar, ketika ibunya masuk ke dalam rumah selepas memberi anaknya itu makan di halaman rumah mereka.

Kanak-kanak itu dijumpai oleh orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, 18 jam selepas diculik.
Mohmad berkata ibu kanak-kanak itu yang masih dalam keadaan trauma diharap dapat memberi gambaran sebenar kejadian itu supaya memudahkan polis membuat siasatan.

“Kami harap sewaktu percakapan dirakam dia beri kerjasama yang baik,” katanya.

Dalam kes lain, Mohmad berkata pihaknya sedang mengemaskini semua bukti kes rompakan kedai emas di Festival City Setapak, di sini, pada 31 Oktober lepas untuk membolehkan suspek didakwa atas tuduhan menyamun.

“Sekarang kami sedang berusaha mencari teman wanita suspek utama untuk membantu siasatan. Gambarnya telah disebarkan kepada umum untuk membolehkan orang ramai membuat laporan sekiranya terserempak dan ternampak wanita itu,” katanya.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, suspek yang merupakan pengawal keselamatan di pusat membeli-belah itu yang lengkap berpakaian seragam bertindak mengacukan senjata api kepada empat pekerja premis berkenaan sebelum melarikan satu dulang berisi kira-kira 100 utas rantai leher.

Terdahulu, ketika berucap pada perhimpunan bulanan itu Mohmad berkata indeks jenayah di ibu negara menurun sebanyak 1,041 kes atau lima peratus bagi tempoh Januari hingga November ekoran Ops Cantas. – BERNAMA