Ewon Tanding Jawatan Timbalan Presiden Upko


SANDAKAN – Naib Presiden Parti Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Dr Ewon Ebin akan bertanding jawatan timbalan presiden parti itu pada pemilihan pucuk pimpinan parti pada 22 Oktober ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata beliau menawarkan untuk bertanding selepas berbincang dengan beberapa bahagian parti di akar umbi.

“Selepas kita berbincang dengan rakan-rakan dalam parti dan bahagian, saya menawarkan diri untuk jawatan itu (timbalan presiden Upko),” katanya kepada pemberita pada majlis taklimat mengenai fungsi dan peranan Mosti di sini malam tadi.

Jawatan timbalan presiden Upko kini kosong berikutan Datuk Seri Wilfred Bumburing keluar parti dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah dan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

Ewon juga berkata parti membuat ketetapan bahawa tiada pemilihan untuk jawatan presiden yang kini dijawat Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata pemimpin dan anggota parti memberi sokongan kepada Dompok untuk terus memegang jawatan itu.

Beliau meminta setiap anggota menganggap pertandingan untuk pemilihan jawatan di peringkat bahagian dan pusat parti dibuat dalam semangat kekeluargaan bagi bagi mengelak perpecahan.

Pemilihan jawatan di peringkat bahagian kini sedang berlangsung. – BERNAMA

Posting Komentar